Sekolah Bestari secara ringkas boleh didefinisikan sebagai suatu sistem pendidikan yang mana proses pengajaran dan pembelajaran lebih berpusat kepada pelajar dengan menggunakan pendekatan yang lebih kritis dan kreatif serta menggunakan teknologi sebagai pengupaya. Penggunaan ICT sebagai bahan bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan jantung Sekolah Bestari.
Program Pembestarian Sekolah memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari pada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Komponen utama pembestarian sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian sekolah dapat melatih guru dan pelajar berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan pelajar yang mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).
Pelaksanaan pembestarian ini mengambil kira semua inisiatif ICT yang sedia ada di sekolah merangkumi tiga perkara utama iaitu hardware, software dan wetware.
Pembestarian sekolah amat disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Induk Pelajaran. Aspek ini menjadikan pentadbiran sekolah lebih efektif kerana komunikasi boleh disampaikan dengan lebih cepat. Kesan penggunaan ICT mampu menjadikan penyampaian guru lebih berkesan dan memberi impak yang besar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penarafan bintang secara tidak langsung menggalakkan sekolah-sekolah memperluas lagi prasarana ICT sekolah dan meningkatkan kemahiran guru-guru, pelajar-pelajar dan staf-staf sokongan dalam bidang ICT. Pemilihan SMK Tun Habab sebagai projek rintis Sekolah Bestari bermula pada Jun 1998 daripada 88 buah sekolah Bestari seluruh negara, telah membuka jalan ke arah pembestarian sekolah. Langkah ini dimulakan dengan memperluas prasarana ICT yang bermula dengan 37 buah komputer yang dibekalkan oleh KPM sehingga menjadikan jumlahnya 160 buah komputer pada tahun 2009.
Semua bilik khas dibekalkan dengan komputer seperti bilik pengetua, pejabat, bilik penolong kanan, bilik media, bilik tayang, bilik guru, bengkel kemahiran hidup, kantin, bilik Persada Angkasa, bilik Guru Kanan Mata Pelajaran dan lain-lain lagi.
Kini sekolah ini terkenal dengan gelaran SMK Tun Habab, Sekolah Bestari Perdana seterusnya menjadi antara Sekolah Bestari Penanda Aras Negeri Johor serta menjadi sekolah pilihan di daerah Kota Tinggi khasnya.
Logo Sekolah Bestari Malaysia melambangkan perubahan dinamik yang menjelaskan Visi Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu :-
- Merangka semula secara sistematik sistem pembelajaran dengan mengubah budaya dan amalan semasa sekolah-sekolah di Malaysia.
- Berubah dari pembelajaran secara hafalan kepada bentuk pembelajaran yang merangsang pemikiran dan kreativiti.
- Mempertanggungjawabkan pelajar terhadap pembelajaran sendiri.
- Penglibatan secara aktif daripada pihak ibu bapa dan masyarakat setempat.
Keterangan Logo
- Warna Hitam pada tulisan melambangkan pemikiran kritis dan kreatif.
- Warna Kuning melambangkan pembelajaran ke tahap optima.
- Warna Ungu melambangkan ilmu.
- Warna Putih melambangkan demokrasi dalam pendidikan.
- Warna Biru melambangkan pembangunan pelajar secara menyeluruh.
- Warna Merah melambangkan peranan pendidikan sebagai nadi bangsa.
- Hati melambangkan persediaan dan keseronokan murid.
- Mentol menyala melambangkan pemikiran murid.
- Bentuk Segi empat melambangkan perangkaaan semula.
- Sistem Pendidikan Malaysia secara sistematik dan mesra.
No comments:
Post a Comment